PENGENALAN

Unit Pengurusan Kolej dan Non-Resident (UPKNR) diwujudkan khas untuk memberi perkhidmatan kebajikan kepada pelajar sama ada dari segi lahiriah mahupun dari segi rohaniah.

Kepentingan unit ini semakin jelas kelihatan apabila wujudnya Akta 174 / Akta Institusi-Institusi Pelajaran. Konsep sebenar UPKNR adalah berlandaskan falsafah Piagam UiTM dengan tujuan untuk menyediakan kemudahan prasarana yang selesa kepada semua penghuni kolej supaya menjadi bumiputera yang cemerlang dalam bidang akademik dan segala aspek kehidupan seharian yang lain.

UPK dan NR di UiTM (Terengganu) terbahagi kepada 2 kompleks iaitu Pengurusan Kompleks Kolej Pantai (Kolej Perhentian, Duyung, Kapas & Non-Resident) dan Pengurusan Kompleks Kolej Tasik (Kolej Redang, Tenggol dan Gemia).

LATAR BELAKANG/ SEJARAH

UiTM (Terengganu) yang sebelum ini dikenali sebagai ITM, mula ditubuhkan pada tahun 1975 di Sura Gate, Dungun. Diawal penubuhannya, UiTM (Terengganu) telah menyewa beberapa rumah awam bagi dijadikan tempat penginapan pelajar. Antaranya ialah di Sungai Udang, Tanah Lot, Sura Jeti, Union Club dan Sura Gate sebagai kolej utama.

UiTM (Terengganu) telah membina kampus tetapnya di Sura Hujung pada tahun 1982. Walaubagaimanapun, penggunaan Kampus Sura Gate masih dikekalkan sehingga 30 April 1998. Mulai semester Mei 1998, semua pelajar telah dipindahkan ke kampus di Sura Hujung.

Kini terdapat 6 buah kolej dan 4 kafeteria di UiTM (Terengganu) yang mampu memuatkan 5,236 orang pelajar.

OBJEKTIF

-Menyediakan penempatan, kemudahan dan persekitaran yang kondusif kepada pelajar yang memenuhi syarat-syarat penempatan kolej.

-Melaksanakan program pembangunan pelajar yang berkualiti dan bersepadu melalui platform utama – Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK).

-Memastikan penyediaan makanan yang berkualiti, berkhasiat dan memenuhi citarasa pelanggan.

-Menghasilkan pengurusan kolej yang peka terhadap kehendak pelanggan, cekap dan efisien.

UNIT KEMUDAHAN KOLEJ & NON-RESIDENT

Unit Pengurusan Kolej dan Non-Resident (UPKNR) diwujudkan bagi menyelaras penempatan pelajar dan kemudahan pelajar di kolej-kolej kediaman. Menyelaraskan segala keputusan dasar baru Hal Ehwal Pelajar (HEP) berkaitan dengan penempatan pelajar dan makanan pelajar di semua kolej-kolej kediaman. Unit ini turut bertanggungjawab terhadap kebajikan, keselamatan dan penyediaan kemudahan-kemudahan lain yang berkaitan dengan pelajar. Antara perkhidmatan lain yang disediakan oleh unit ini adalah:

-Menyelaras permohonan pelajar mendapat tempat tinggal di kolej-kolej kediaman.

-Menyelaraskan segala pembelian dan naiktaraf kolej kediaman UiTM (Terengganu).

-Melaksanakan kaedah sistem e-Hep dan iKolej untuk kemudahan pelajar dan kakitangan kolej-kolej kediaman.

-Menyelaraskan urusan tender sewaan perabot dan kafeteria di kolej- kolej kediaman.

-Menyelaraskan sewaan penempatan kolej kepada pelajar dan organisasi luar.